KARNIVAL YEAR END ZAKAT (YEZ) 2018

KARNIVAL YEAR END ZAKAT (YEZ) 2018 | Mengeluarkan zakat bermaksud mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu dan diberikan kepada mereka yang berhak menerimanya dan ianya merupakan salah satu rukun islam yang wajib ditunaikan. Di Malaysia, khususnya di Wilayah Persekutuan, pungutan zakat dilakukan oleh Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Justeru itu, PPZ-MAIWP menganjurkan Karnival Year End Zakat (YEZ) 2018 pada hari ini dan esok; 1 & 2 Disember 2018 (Sabtu & Ahad), 9.30 pagi hingga 9.30 malam bertempat di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.
Karnival ini diadakan bagi menarik lebih ramai lapisan masyarakat Islam untuk mengetahui tentang kewajipan berzakat sekaligus meningkatkan kadar pembayaran zakat. Selain itu, pelbagai aktiviti keagamaan, pertandingan azan, pertandingan memanah dan pertandingan Masterchef bersama Chef Zubir yang dianjurkan serta terdapat 90 booth menarik yang boleh dikunjungi termasuklah booth jualan makanan, pakaian, kaunter zakat bergerak dan lain-lain.
Mak berkesempatan menghadiri Karnival YEZ 2018 hari ini. Ada Liga Quran oleh Ustaz Syekh Abdul Karim Al-Makki, Fakhrul UNIC, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman dan Man Raja Lawak. Pengisian yang sangat menarik dan diikuti dengan majlis perasmian YEZ 2018 oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali bersama Ketua Pegawai Eksekutid PPZ-MAIWP, Tuan Haji Ahmad Syukri Yusoff.
Kanak-kanak juga dialu-alukan ke karnival ini. Siapa yang nak melepaskan peluang menonton persembahan Didi & Friends serta Omar & Hana kan? Selain itu ada juga pertandingan mewarna dan mini petting zoo. Pasti anak-anak sukakannya!
Dijangka 10,000 orang yang akan hadir karnival ini. Jadinya, Mak cadangkan bagi yang ingin berkunjung lebih mudah jika menggunakan pengangkutan awam. Tak payah susah cari parking. Esok ada Grand Dhuha oleh Amin Idris, IM Asyraf, PU Amin dan Heliza Helmi pada sebelah pagi dan Grand Forum Superstar pada sebelah malam oleh Ustaz Dato' Dr Izhar Ariff, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi dan Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang dihoskan oleh Bell Ngasri.

Jadi, marilah beramai-ramai ke Karnival Year End Zakat 2018 serta berpeluang memenangi cabutan bertuah yang akan diadakan di semua acara. Grand cabutan bertuah bernilai RM2,500 dan 37 cabutan bertuah bernilai RM7,500.

Untuk info lanjut tentang Karnival Year End Zakat (YEZ) 2018 atau PPZ-MAIWP; kunjungi mereka di FB/IG/Twitter: Pusat Pungutan Zakat atau layari laman sesawang www.zakat.com.my.

"PPZ-MAIWP Memudahkan Anda Berzakat"

Comments